Wednesday, June 24, 2009

Minda Cina Pasal Bencana

Beberapa hari lalu, saya sempat untuk ke sebuah bengkel cina bukan Islam untuk menukar minyak hitam motorsikal saya. Biasanya saya ke bengkel lain milik anak muda melayu Islam untuk tujuan itu. Bukan apa, cuma atas saranan seorang kenalan bahawa bengkel ini baik perkhidmatannya dan mempunyai kepakaran, saya cuba ke sana untuk mengetahui pandangannya tentang beberapa perkara yang saya kurang berpuas hati dengan keadaan bunyi motosikal honda wave125 milik saya sekarang ini.
Setelah menukar minyak hitam yang telah melebihi 1000km perjalanan, saya menyuruh cina itu memeriksa rantai motosikal kerana ada bunyi yang kurang sedap didengar. Apabila diperiksa, katanya rantai itu masih boleh digunakan tetapi ada sedikit kerosakan, jika ditukar lagi bagus kerana bimbang untuk perjalanan jauh dan laju. Saya kata sekiranya masih boleh digunakan tidak perlu ditukar tetapi saya bertanyakan harga jika mahu tukar. Cina tersebut terus mengambil rantai yang sesuai untuk tunjuk kepada saya dan diberitahu harganya. Tetapi malang, apabila diukur, rupanya rantai yang sedia ada itu kecil berbanding rantai yang ditunjukkan itu. Terus cina itu berkata perkara ini mesti dibuat aduan kerana membahayakan penunggang motosikal yang biasa dengan perjalanan jauh. Rantai yang sedia ada itu sebenarnya sesuai untuk motosikal c70, tetapi syarikat ini mungkin ingin menjimatkan kos, diletaknya rantai yang kecil itu tanpa menghiraukan keselamatan pengguna.
Cina itu memberi contoh bumbung stadium Gong Badak, besi yang menyokong struktur bumbungnya lebih kecil berbanding yang sepatutnya, sebab itulah ianya tidak kukuh dan runtuh dalam jangka masa yang singkat. Katanya tuhan masih sayangkan rakyat Terengganu, bagaimana kalau bumbung itu runtuh semasa malam majlis perasmian yang dibanjiri oleh ribuan rakyat. Sungguh petah cina itu berbicara. Sambungnya lagi, ini semua pasal manusia tamak haloba dan inginkan kekayaan dalam masa yang singkat, sebab itulah sanggup buat apa sahaja tanpa mengikut peraturan demi mencapai kepuasan nafsu sendiri walaupun nyawa manusia jadi taruhan.
Setiap bencana yang melanda dunia hari ini juga pada pandangannya adalah disebabkan oleh tangan manusia sendiri. Manusialah yang menghilangkan bukit, membuka hutan-hutan, menggali dasar laut dan banyak lagi contoh yang diberi. Semua ini salah manusia sendiri katanya.
Saya sekadar mengiyakan apa yang disebutnya dan bertanya beberapa soalan untuk mengetahui fikrahnya.
Apa yang diucapkan oleh cina bukan Islam ini sebenarnya menggambarkan fitrah pemikiran seorang manusia. Fitrah pemikiran semulajadi manusia yang tidak ada apa-apa kepentingan politik, pangkat atau kemewahan yang berganda. Sebab itu dia mampu berfikir dengan waras. Mungkin hidayah belum sampai kepadanya untuk memeluk Islam. Sekiranya dia mempelajari Islam, sudah pasti dia akan temui apa yang dicakapkan itu adalah bertepatan dengan Islam.

No comments:

Post a Comment