Saturday, May 9, 2009

Kenapa tidak "Hari Ibu Bapa" ?

Setiap tahun masyarakat kita menyambut Hari Ibu pada hari Ahad minggu kedua bulan Mei. Hari Bapa pula pada hari Ahad ketiga bulan Jun. Kenapa mesti hari Ahad? Dari mana pengaruh ini? Mengapa diasingkan sambutan hari ibu dan hari bapa? Pada sambutan hari ibu, di mana bapa? Pada sambutan hari bapa pula, di mana ibu?
Menurut Wikipedia,ensiklopedia bebas, Hari Ibu disambut pada hari berbeza antara negara kerana berbagai-bagai asal-usulnya. Satu aliran pemikiran mengakui bahawa perayaan ini lahir dari satu adat pemujaan ibu di
Yunani Purba, yang menyambut satu perayaan untuk Cybele, ibu dewa-dewi Yunani yang agung. Perayaan ini diadakan sekitar equinoks musim bunga di Asia Kecil dan tidak lama kemudian di Rom dari 15 hingga 18 Mac. Orang Rom Purba juga menyambut sebuah perayaan bernama Matronalia yang memperingati dewi Juno, dan ibu lazimnya diberi hadiah pada hari ini.
Antara Negara yang menyambut Hari Ibu pada Ahad kedua Mei ialah
Afrika Selatan, Amerika Syarikat, , India, Itali, Jamaica, Jepun, Jerman, Kanada, Latvia, Malta, Myanmar, New Zealand, Pakistan, Peru, Switzerland, Turki, Ukraine, Uruguay, Venezuela, Zimbabwe, dan tanahairku Malaysia.
Kalau mengikut sejarah ini, sudah tentu hari ibu ciptaan mereka ini tidak wajar disambut. Saya cuma ingin menyatakan pendapat bahawa sewajarnya jika ingin diadakan sambutan, kedua-dua orang tua kita perlu diraikan bersama. Ketaatan kita kepada kedua ibubapa adalah kehendak Allah melalui Firmannya :

وقضى ربك ألا تعبدوا الا اياه وبالولدين احسانا
( 23 سورة الاسراء )
Yang bermaksud : “ Dan beribadatlah kepada Allah dan janganlah kamu mempersekutukannya dengan sesuatupun, dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa…”

واعبدوا الله ولا تشركوا به شيئا وبالولدين احسنا
( 36 سورة النساء )
Yang bermaksud : “ Tuhanmu telah memerintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hemdaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa”.

وَوَصَّيْنَا الإِْنْسَانَ بِوَالِِدَيْهِ إِحْسَانًا
( 14 سورة لقمان )
Yang bermaksud : “ Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya..”
Allah SWT menggunakan perkataan “الولدين" yang bermaksud kedua ibubapa. Ini bermakna kepada kedua ibu bapa perlu kita berbuat baik dan tidak ada perbezaan untuk kita lebihkan ketaatan kita kepada mereka berdua.
Didalam doa harian kepada ibubapa juga kita nyatakan :

رب اغفرلي ولوالدي وارحمهما كما ربياني صغيرا
Bermaksud : Tuhanku, ampunilah dosaku dan dosa kedua ibu bapaku serta rahmatilah (peliharalah ) keduanya sepertimana mereka memeliharaku sewaktu kecilku.
Sebagai anak yang soleh, sudah tentu doa ini kita amalkan setiap kali selepas solat, kita doakan untuk diampunkan dosa kedua ibubapa kita. Inilah yang diajar oleh Rasulullah SAW. Kita tidak pernah pisahkan kasih sayang mereka berdua dan sentiasa mengingati mereka .
Ini bukan bererti kita tidak berpegang dengan hadis :

"اَلْجَنَّةُ تَحْتَ أَقْدَامِ اْلأُمَّهَاتِ."

Yang bermaksud : “Syuga itu di bawah tapak kaki ibu” .

عَنْ مُعَاوِيَةَ بْنِ حَيْدَةَ الْقُشَيْرِىِّ قَالَ : قُلْتُ يَا رَسُوْلَ اللهِ، مَنْ أَبَرَّ؟ قَالَ : أُمُّكَ. قَالَ قُلْتُ : ثُمَّ مَنْ؟ قَالَ : أُمُّكَ. قَالَ قُلْتُ: ثُمَّ مَنْ؟ قَالَ : أُمُّكَ. قَالَ قُلْتُ: ثُمَّ مَنْ؟ قَالَ : أَبَاكَ؟ ثُمَّ الأَقْرَبَ فَالأَقْرَبَ.
(رواه الترميزي)

Yang bermaksud : Daripada Muawiyah katanya aku bertanya Rasulullah SAW, siapakah yang patut aku berbuat baik ? Rasulullah menjawab : Ibumu,kemudian aku bertanya lagi siapa? Rasulullah menjawab : Ibumu, kemudian aku bertanya lagi siapa? Rasulullah menjawab : Ibumu, kemudia aku bertanya lagi siapa? Rasulullah menjawab : Bapamu, kemudian orang yang paling hampir denganmu dan seterusnya”.
Memang benar pengorbanan ibu lebih besar dan dari sudut mendahulukan ibu daripada bapa amatlah wajar sekali kerana pengorbanannya ketika melahirkan kita. Tetapi apakah wajar kita pada hari ini menunggu tempoh sebulan untuk memberi sesuatu kepada bapa setelah kita berikan dahulu kepada ibu?
Pepatah Melayu ada menyatakan “ Ditelan mati ibu diluah mati bapa ” menunjukkan bahawa kasih sayang anak kepada mereka berdua tidak dapat dipisahkan, bahkan kita perlu mununjukkan kasih sayang yang sama rata kepada mereka selagi kedua-duanya masih hidup.
Dalam banyak negara di dunia hari ini, rupanya ada negara yang menyambut “Hari Ibu Bapa” iaitu Korea Selatan dan Albania . Mengapa bukan Negara Islam? Sepatutnya Negara Islam yang menjadi petunjuk bukan pengikut. Atau perkara ini mungkin hanya soal yang remeh-temeh? Sekadar persoalan…Setiap hari adalah hari ibu bapa.

2 comments:

  1. perkongsian ilmu yg sgt menarik.. patut laa saya rs berat mulut utk wish pd mak n mertua.. coz pd sy setiap hari itu adalah hari ibu..begitu juga sambutan hari bapa sekali pun tidak pernah meraikan... input yg sgt bagus!

    ReplyDelete
  2. Terima kasih. Saya rasa hati kecil setiap orang akan rasa begitu. Tetapi budaya luar lebih mempengaruhi masyarakat, jadi mereka terikut-ikut budaya dunia luar kerana bagi mereka dunia luar lebih bertamadun.

    ReplyDelete