Thursday, February 25, 2010

Rasulullah SAW : Rahmat 1Alam

12 Rabiul Awal setiap tahun kita menyambut hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w dengan pelbagai kata-kata pujian kepada Rasulullah dan dengan penuh syukur kepada Allah s.w.t atas kurniaan rahmat yang tidak diberikan kepada umat lain. Apa yang lebih penting adalah supaya kita bukan sahaja memperingati kelahiran baginda tetapi mengikuti segala ajaran dan sunnah yang dibawa oleh Rasulullah saw. Bahkan amat malang bagi kita sekiranya kita menyambut kelahiran baginda pada hari ini tetapi kita menentang ajaran dan sunnah yang dibawa oleh Rasulullah saw.
Rasulullah s.a.w.adalah contoh teladan yang sebaik-baiknya bagi kita dalam semua hal, sebab nabi s.a.w. telah berjaya membawa perubahan yang luar biasa dalam semua bidang dalam masa yang begitu singkat iaitu hanya 23 tahun.
Baginda telah berjaya merubah masyarakat musyrikin, yang menyembah berhala, berpecah belah, bersuku puak, zalim, yang kuat menindas yang lemah, yang kaya memeras yang miskin, yang pandai menipu yang bodoh bahkan bertebaran kejahatan di daratan dan di lautan disebabkan amal perbuatan mereka.
Semua itu telah diubah, menjadi masyarakat yang hanya menyembah Allah s.w.t. Masyarakat yang berpecah belah, bersuku puak, telah dipersaudarakan menjadi satu masyarakat yang bersatu padu.
Kedatangan Nabi adalah rahmat bagi 1Alam, umat manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan makhluk-makhluk lainnya. Rasulullah membawa ajaran tentang persamaan, persatuan dan kemuliaan umat manusia, bagaimana tata cara hubungan manusia sesama manusia, hubungan saudara seagama, dan hubungan antara agama. Rasulullah mengajarkan tentang persaudaraan, perdamaian, keadilan, tolong menolong, cara hidup berkeluarga, berjiran dan bermasyarakat dan sebagainya.
Rasulullah SAW melarang manusia berbuat sewenang-wenang, sekalipun terhadap binatang. Rasulullah mengajarkan, kalau engkau menyembelih binatang, lakukanlah dengan sebaik-baiknya. Jangan dicekik, ditusuk atau dipukul. Sembelihlah dengan pisau yang tajam. Inilah rahmatnya pengutusan Nabi saw ke alam ini, rahmatnya ke 1alam. Firman Allah yang bermaksud : “Dan tidaklah Kami mengutus engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam (1Alam).” (Surah Al- Anbiya : 107)
Begitu juga akhlak Rasulullah dapat pengiktirafan langsung dari Allah SWT. “Sesungguhnya engkau benar-benar memiliki akhlak yang agung” (Surah Al-Qalam : 4). Tatkala ‘Aisyah ra, isteri Nabi, ditanya bagaimana akhlak Nabi, beliau menjawab:”Akhlak Nabi adalah Al-Qur’an”. Rasulullah pun menjelaskan bahawa kedatangannya adalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia (H.R. Baihaqi). Dalam hadits lain Rasulullah menyatakan: “Seorang mukmin menjadi mulia karana agamanya, mempunyai kepribadian karana akalnya, dan menjadi terhormat karana akhlaknya” (H.R.Hakim). Malah Rasulullah mengatakan: “Orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya” (H.R.Tirmidzi).
Semoga kita semua bukan hanya menyambut hari kelahiran Muhammad bin Abdullah tetapi menjadi pengikut Muhammad Rasulullah S.A.W, InsyaAllah.