Friday, August 21, 2009

Salam Ramadhan


Selamat menyambut Bulan Ramadhan yang penuh berkat dan rahmat dari Allah.
*******
Dan sabda baginda :
"إِنَّ فِي الْجَنَّةِ بَابًا يُقَالُ لَهُ الرَّيَّانُ يَدْخُلُ مِنْهُ الصَّائِمُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ لاَ يَدْخُلُ مِنْهُ أَحَدٌ غَيْرُهُمْ يُقَالُ: "أَيْنَ الصَّائِمُونَ" فَيَقُومُونَ، لاَ يَدْخُلُ مِنْهُ أَحَدٌ غَيْرُهُمْ فَإِذَا دَخَلُوا أُغْلِقَ فَلَمْ يَدْخُلْ مِنْهُ أَحَدٌ"
Maknanya: Sesungguhnya di dalam syurga ada satu pintu yang digelar al Rayyan, hanya orang yang berpuasa sahaja yang akan masuk melaluinya, lalu dikatakan pada mereka: Di manakah orang-orang yang berpuasa?, maka mereka pun bangun, tidak ada orang selain mereka yang akan masuk melaluinya, apabila mereka masuk lalu ditutup pintu tersebut. (Riwayat al Bukhari)
Rasulullah bersabda lagi:
إِذَا كَانَ أَوَّلُ لَيلَةٍ من شَهرِ رَمضَانَ صُفِّدتِ الشَّياطين ومَردَةُ الجنِّ وغُلِّقتْ أَبوابُ النِيرانِ فلَمْ يُفتَحْ منها بابٌ وفُتِّحتْ أَبوابُ الجنَّةِ فلَمْ يُغلَقْ منها بابٌ ويُنَادِي مُنَادٍ يا بَاغِيَ الخيرِ أَقبِلْ ويا بَاغِيَ الشَّرِّ أَقصِرْ. ولله عُتَقَاءُ من النَّارِ وذَلكَ كُلَّ لَيلَةِ ".
رواه الترمذي والنسائي وابن ماجه والحاكم .
Maknanya: Apabila di malam pertama pada bulan Ramadhan lalu diikat syaitan-syaitan dan jin, dan ditutup pintu-pintu neraka lalu tidak dibuka, dan dibuka pintu-pintu syurga lalu tidak ditutup, kemudian ada suara yang memanggil: Wahai orang yang inginkan kebaikan, datanglah!, wahai orang yang inginkan kejahatan pergilah!, sesungguhnya setiap malam bulan Ramadhan ada orang-orang yang akan dibebaskan dari neraka.
(Riwayat Tirmizi Nasaei, Ibn Majah dan al Hakim)

Thursday, August 13, 2009

Ustaz Asri Rabbani Meninggal...Al-Fatihah

KUALA LUMPUR, 13 Ogos - Vokalis utama kumpulan Rabbani, Mohamad Asri Ibrahim (Ustaz Asri) meninggal dunia sebaik sahaja jatuh ketika membuat persembahan di RTM kira-kira jam 11.15 pagi ini. Menurut saksi, Asri jatuh di hadapannya ketika membuat persembahan itu dan ketika diperiksa dia sudah meninggal dunia.
Sementara itu, Harakahdaily ketika menghubungi salah seorang petugas pemasaran kumpulan nasyid itu mengesahkan berita tersebut.
Badrulhisham Jamaluddin daripada bahagian pemasaran kumpulan Rabbani mengesahkan bahawa Ustaz Asri meninggal dunia selepas rebah di RTM pagi tadi.
"Saya tidak tahu apa puncanya,"katanya yang sedang dalam perjalanan ke Hospital Pantai ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.
Pahlawan Nasyid
Dalam pada itu, anggota Kumpulan Nasyid Raihan menyifatkan allahyarham Ustaz Mohd Asri Ibrahim yang juga vokalis Kumpulan Rabbani sebagai 'pahlawan nasyid' yang sukar dicari ganti.
Salah seorang anggota kumpulan terbabit, Che Amran Ibrahim ketika dihubungi memberitahu, pemergian vokalis nasyid yang bersuara �emas� itu amat sukar dicari ganti.
"Berita kematiannya yang mengejutkan itu memang memeranjatkan kami, sama seperti anggota kami yang telah meninggal dunia dahulu allahyarham Zaiery yang pergi dengan cara mengejut,"ujarnya dalam sebak menahan kesedihan.
Beliau seterusnya memberitahu, Asri yang bersuara 'emas' sebenarnya ikon kepada kumpulan nasyid yang ada pada hari ini.
Jelasnya, walaupun Rabbani hanya ditubuhkan pada tahun 1998, namun namanya telah lama terkenal dengan seni irama nasyid sejak sekian lamanya khususnya sewaktu menganggoti Nadamurni.
"Begitu juga anggota Raihan yang ditubuhkan sebenarnya turut mendapat respond yang baik dari allahyarham sendiri, bahkan allahyarham turut memberi saranan supaya perbanyakkan kumpulan nasyid.
"Ianya bertujuan supaya masyarakat turut mendapat hiburan alternatif yang menjurus kepada Islam sebagai mengimbangi lagu-lagu versi lain yang ada pada hari ini,"ujarnya.
Ulama nasyid
Kali terakhir bertemu dengan allahyarham dua malam lalu untuk berbincang tentang program nasyid yang bakal diadakan bersama selepas ini.
Sementara itu, anggota Kumpulan Hijjaz, Isman Hisyam,40, menyifatkan allahyarham sebenarnya seorang ulama yang masyhur dalam nasyid.
"Walaupun kita nampak dia bernasyid, tetapi sebenarnya dia seorang ulama bahkan tempat anggota kumpulan nasyid membuat rujukan khususnya tentang Islam,"ujarnya.
Beliau yang kini berada di Kota Bharu untuk promosi Kopi Hijjaz, bagaimanapun melahirkan rasa terkilan sebab tidak dapat pulang menziarahi allahyarham buat kali terakhir kerana masaalah tiket penerbangan telah habis.
Menurutnya, semua tiket sama ada MAS, Firefly, Air Asia kesemuanya habis untuk penerbangan hari ini.
Jelas Isman lagi, beliau amat terkejut dengan berita yang baru diterima apabila salah seorang anggota Kumpulan Rabbani 'Azadan' menghubunginya memberitahu Asri sudah meninggal dunia.
"Kami macam adik beradik walaupun berlainan kumpulan sebab kumpulan nasyid mana-mana pun menuju ke arah yang sama iaitu membawa manusia ke jalan yang benar serta sentiasa mengaggungkan Allah,"ujarnya.
Tambahnya, lagipun kumpulannya sentiasa merangkakan program bersama khususnya rakaman 'zikir' bersama Rabbani.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua peminat Rabbani khususnya umat Islam mendoakan kesejahteraan allahyarham agar mendapat limpahan rahmat yang tidak perbah putus.
"Kami juga berharap semua peminat seni nasyid tanah air supaya bersabar menerima berita yang begitu menyentuh jiwa ini,"ujarnya yang tidak dapat menahan sebak.
Untuk rekod, salah seorang anggota Hijjaz, iaitu Salleh telah meninggal dunia akibat masalah paru-paru, ianya diikuti dengan anggota kumpulan Raihan, Zaery meninggal dunia akibat serangan jantung beberapa bulan selepas itu.
Juara ABP lapan tahun berturut-turut
Ustaz Asri dilahirkan pada 3 Ogos 1969 di Klang, Selangor.
Beliau menyertai kumpulan nasyid terkenal itu sejak ia ditubuhkan secara rasmi pada 1 Mac 1997 dengan dianggotai oleh sembilan orang termasuknya.
Kehilangan Asri kini bermakna hilanglah tunjang Rabbani memandangkan arwah banyak menyumbangkan kemajuan prestasi dan memberikan kejayaan kepada Rabbani.
Atas kejayaan itu, maka tidak hairanlah jika Rabbani dijulang sebagai Penyanyi/Artis Nasyid Popular di Anugerah Bintang Popular (ABP) selama lapan tahun berturut-turut.
Kemunculan Rabbani yang turut dianggotai oleh Mohd. Asri Baidul @ Ubaidullah, Azadan Abdul Aziz, Muhammad Luqman Abd Aziz, Muhammad Rithauddeen Yaakob, Mohamad Afandi Shahbudin, Ahmad Shafie, Nazrul Azhar Tamrin dan Zulkiflee Azman ini adalah dengan konsep yang tersendiri.
Dalam tempoh lebih 12 tahun berada dalam industri ini, Rabbani telah menghasilkan 19 buah album seperti 'ARAH Dari Mana� Ke Mana�' (1997), 'Pergi Tak Kembali' (1999), 'Intifada' (2000), 'Yalla Beena' (2004) dan yang terbaru, 'Nostalgia Nada Murni'.
-Harakahdaily.net

Thursday, August 6, 2009

Nisfu Syaaban : cuma semalam?

Bulan Syaaban adalah salah satu bulan yang mempunyai keistimewaan tersendiri. Kelebihan Syaaban dapat dilihat apabila Rasulullah SAW pernah memberitahu sahabat mengenai Syaaban. Bulan itu dinamakan demikian kerana pada bulan itu Allah banyak memberi rahmat kepada hamba-Nya.
Syaaban dianggap pintu gerbang Ramadan kerana pada bulan itu umat Islam masih boleh makan dan minum pada siang hari sebelum mereka menyambut kedatangan bulan puasa yang penuh berkat.
Kelebihan Syaaban berbanding bulan lain ialah seperti kelebihan Rasulullah SAW terhadap semua nabi, manakala keutamaan bulan Ramadan berbanding dengan semua bulan adalah seperti keutamaan Allah kepada hamba-Nya.
Pada bulan Syaaban, ada satu malam sangat dinantikan umat Islam iaitu malam Nisfu Syaaban. Pada malam itu, umat Islam akan membanjiri masjid dan surau untuk menghidupkan malam itu dengan bacaan surah Yaasin secara beramai-ramai. Amalan inilah yang biasa dilakukan oleh masyarakat Islam di negara ini.
Sebaik sahaja solat Maghrib berjamaah, mereka akan membaca surah Yaasin beramai-ramai sebanyak tiga kali. Kuliah Maghrib sekiranya dijadualkan pada malam itu akan dibatalkan untuk menggatikan dengan amalan tadi.
Selepas solat Isyak, jamuan pula dihidangkan kepada jemaah yang hadir membanjiri masjid atau surau pada malam itu. Kuih muih ini biasanya dibawa oleh jemaah sedikit seorang kemudian mereka makan bersama-sama.
Berbeza dengan salah sebuah surau yang biasa saya solat di situ, mereka tetap mengadakan kuliah Maghrib di antara selepas solat Maghrib sehingga waktu Isyak. Ramai juga yang datang. Selepas solat Isyak, barulah mereka membaca Surah Yaasin tetapi hanya sekali, kemudian mereka bersurai. Ada juga makanan disediakan tetapi hanya buah-buahan.
Saya tidak mahu membandingkan antara dua amalan ini untuk membuat rumusan mana yang lebih baik. Tetapi yang kita nampak pada malam itu, orang-orang Islam boleh datang ke masjid beramai-ramai untuk solat berjamaah. Mengapa pada malam-malam yang lain atau waktu-waktu solat yang lain mereka tidak muncul. Alangkah bagusnya malam-malam lain juga seperti malam nisfu Syaaban.
-----

كَانَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَعَلَى آلِهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ رَجَبَ قَالَ اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيْ رَجَبَ وَشَعْبَانَ وَبَلِّغْنَا رَمَضَانَ
“Adalah Nabi SWT bila baginda telah memasuki bulan Rajab baginda berdoa: ‘Ya Allah, berkatilah untuk kami bulan Rajab dan Sya’ban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan.”