Monday, June 29, 2009

Giliran Kematian

Baru minggu lepas, 22 Jun 2009 (Isnin), saya bersedih atas pemergian tokki yang dikasihi, Haji Abdul Rahman bin Mat Amin, berusia 90 tahun. Semalam, 28 Jun 2009, kami menerima berita yang sama, pemergian seorang mak saudara, Aminah binti Puteh yang berusia 50 tahun. Dan semalam juga, sepupu kepada mak saya juga menerima jemputan daripada Allah, tetapi saya tidak sempat menziarahi keluarganya kerana menguruskan jenazah mak saudara.

Tiga kematian keluarga terdekat dalam tempoh dua minggu. Kita mesti menerima takdir ini sebagai tanda keimanan kepada Allah. Allah yang menentukan segala-galanya. Cuma saya terfikir, bila dan bagaimana pula saya akan menghadapinya?

Wednesday, June 24, 2009

Minda Cina Pasal Bencana

Beberapa hari lalu, saya sempat untuk ke sebuah bengkel cina bukan Islam untuk menukar minyak hitam motorsikal saya. Biasanya saya ke bengkel lain milik anak muda melayu Islam untuk tujuan itu. Bukan apa, cuma atas saranan seorang kenalan bahawa bengkel ini baik perkhidmatannya dan mempunyai kepakaran, saya cuba ke sana untuk mengetahui pandangannya tentang beberapa perkara yang saya kurang berpuas hati dengan keadaan bunyi motosikal honda wave125 milik saya sekarang ini.
Setelah menukar minyak hitam yang telah melebihi 1000km perjalanan, saya menyuruh cina itu memeriksa rantai motosikal kerana ada bunyi yang kurang sedap didengar. Apabila diperiksa, katanya rantai itu masih boleh digunakan tetapi ada sedikit kerosakan, jika ditukar lagi bagus kerana bimbang untuk perjalanan jauh dan laju. Saya kata sekiranya masih boleh digunakan tidak perlu ditukar tetapi saya bertanyakan harga jika mahu tukar. Cina tersebut terus mengambil rantai yang sesuai untuk tunjuk kepada saya dan diberitahu harganya. Tetapi malang, apabila diukur, rupanya rantai yang sedia ada itu kecil berbanding rantai yang ditunjukkan itu. Terus cina itu berkata perkara ini mesti dibuat aduan kerana membahayakan penunggang motosikal yang biasa dengan perjalanan jauh. Rantai yang sedia ada itu sebenarnya sesuai untuk motosikal c70, tetapi syarikat ini mungkin ingin menjimatkan kos, diletaknya rantai yang kecil itu tanpa menghiraukan keselamatan pengguna.
Cina itu memberi contoh bumbung stadium Gong Badak, besi yang menyokong struktur bumbungnya lebih kecil berbanding yang sepatutnya, sebab itulah ianya tidak kukuh dan runtuh dalam jangka masa yang singkat. Katanya tuhan masih sayangkan rakyat Terengganu, bagaimana kalau bumbung itu runtuh semasa malam majlis perasmian yang dibanjiri oleh ribuan rakyat. Sungguh petah cina itu berbicara. Sambungnya lagi, ini semua pasal manusia tamak haloba dan inginkan kekayaan dalam masa yang singkat, sebab itulah sanggup buat apa sahaja tanpa mengikut peraturan demi mencapai kepuasan nafsu sendiri walaupun nyawa manusia jadi taruhan.
Setiap bencana yang melanda dunia hari ini juga pada pandangannya adalah disebabkan oleh tangan manusia sendiri. Manusialah yang menghilangkan bukit, membuka hutan-hutan, menggali dasar laut dan banyak lagi contoh yang diberi. Semua ini salah manusia sendiri katanya.
Saya sekadar mengiyakan apa yang disebutnya dan bertanya beberapa soalan untuk mengetahui fikrahnya.
Apa yang diucapkan oleh cina bukan Islam ini sebenarnya menggambarkan fitrah pemikiran seorang manusia. Fitrah pemikiran semulajadi manusia yang tidak ada apa-apa kepentingan politik, pangkat atau kemewahan yang berganda. Sebab itu dia mampu berfikir dengan waras. Mungkin hidayah belum sampai kepadanya untuk memeluk Islam. Sekiranya dia mempelajari Islam, sudah pasti dia akan temui apa yang dicakapkan itu adalah bertepatan dengan Islam.

Sunday, June 14, 2009

Perginya Seorang Pejuang Islam.

Al-Ustaz Dr Fathi Yakan telah meninggal dunia pada pagi 13 Jun 2009 pada usianya 76 tahun. Jasanya sangat besar dalam mewarnai dunia harakah islamiyyah.

Kitab karangannya yang sangat masyhur "Apa Erti Saya Menganut Islam" (atau lebih popular dengan panggilan 'Maza Yakni') menjadi rujukan kebanyakan usrah pelbagai wadah. Penulisannya yang tersusun rapi menyemai kefahaman yang jitu tentang definisi seorang penganut Islam yang benar-benar berperibadi Muslim.

Semoga beliau ditempatkan bersama para syuhada..Amin..

Monday, June 8, 2009

Bersyukur tetapi menyokong Yahudi?


“Kalau saya berjaya temuduga nanti, saya akan belanja awak makan di McDonalds” Ungkapan ini masih lagi kedengaran pada hari ini dikalangan umat Islam dalam masyarakat kita.

Bersyukur atas kejayaan dengan membelanjakan wang ringgit memberi makan kepada teman-teman tidak salah bahkan dituntut dan digalakkan. Setelah Allah memberikan kita rezeki yang banyak, kesihatan diri yang baik dan kehidupan yang selesa, maka sudah tentu sebagai hamba yang mengaku beriman kepada Allah akan bersyukur atas segala nikmat yang diberikan itu.
Firman Allah dalam surah Luqman ayat 12 yang bermaksud : Dan sesungguhnya kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan (serta kami perintahkan kepadanya), “Bersyukurlah pada Allah Azzawajalla (akan segala nikmat-Nya pada mu)” Dan sesiapa yang bersyukur maka faedah itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal bagi Nya) kerana Allah Maha kaya lagi Maha terpuji. Luqman Al Hakim apabila dikurniakan kelebihan daripada Allah beliau menzahirkan kesyukuran beliau dengan tunduk dan patuh pada Allah. Ini bermakna bersyukur ialah kita melaksanakan segala yang di suruh oleh Allah dan menjauhi laranganNya.

Satu perkara yang disuruh oleh Allah yang saya ingin utarakan di sini ialah mengasihi saudara kita seaqidah tanpa mengira kaum dan sempadan negara. Kita berada di negara yang aman damai,bagaimana pula saudara kita yang berada di bumi bakarah Palestin? Mereka sedang berhadapan dengan musuh yang sentiasa mengamcam, membunuh dan menghancurkan mereka. Perlu kita ingat bahawa musuh mereka adalah musuh kita juga. Apakah kita sekarang sedar bahawa kita adalah antara yang memberi sumbangan kepada musuh sendiri untuk membunuh saudara kita dengan keuntungan yang diperolehi daripada perbelanjaan kita dengan syarikat-syarikat milik Yahudi dan Amerika? Syarikat-syarikat milik yahudi dan amerika seperti McDonalds, KFC, Burger King, Coca cola, Nestle dan banyak lagi adalah penyumbang terbesar kepada pembentukan negara haram Israel dan sumbangan yang diberikan adalah berterusan sehingga menerima anugerah yang diberikan oleh kerajaan haram Israel.

Penegasan Sheikh Yusuf Al-Qaradawi :
"Wahai kaum Muslimin dan Muslimat di seluruh dunia, memboikot produk-produk buatan Israel dan Amerika adalah kewajipan bagi seluruh umat Islam di seluruh dunia.
Setiap ringgit yang kita bayarkan untuk sebotol Coca-Cola misalnya, akan menjadi sebutir peluru di dalam senjata orang-orang Amerika atau Israel yang akan diacu ke arah kita.
Kita telah menyumbangkan wang kita setiap hari kepada McDonalds, KFC, Burger King dsb, tanpa memikirkan ke mana wang itu akan dibelanjakan. Menurut pendapat saya, setiap Muslim harus bertanggungjawab dalam hal yang mempengaruhi keluarga dan gaya hidup mereka".

Sebagai menyatakan syukur kepada Allah dan mengasihi saudara seagama kita, marilah kita memboikot sepenuhnya produk-produk yang dihasilkan oleh musuh-musuh Allah dan musuh-musuh kita.

Tuesday, June 2, 2009

Stadium runtuh, hati-hati binaan baru yang lain.

KUALA NERUS - Stadium Sultan Mizan sebahagian daripada Kompleks Sukan Gong Badak, berharga RM 450 juta yang dirasmikan pada 10 Mei tahun lalu, runtuh pada jam 9.30 pagi hari ini. Keseluruhan bumbung 'grand-stand' membabitkan bumbung sepanjang 80 meter meliputi pentas diraja stadium yang menjadi kebanggaan itu telah runtuh sama sekali. Runtuhan itu bagaimanapun tidak mengakibatkan kehilangan nyawa namun sebuah kenderaan dan empat buah motosikal yang diletakkan betul-betul dibawah bumbung yang runtuh itu ranap.

Saya sangat terkejut dengan kejadian ini, lebih-lebih lagi ia terletak tidak jauh dari tempat tinggal saya. Pelbagai tafsiran bermain difikiran lantaran kejadian ini. Bukan ingin menuding jari kepada sesiapa, tetapi sesiapa sahaja boleh memberi andaian yang pelbagai menyalahkan pihak tertentu.

Dalam pemikiran saya sekarang ini, sekiranya stadium yang nampak begitu gah dan teguh ini boleh runtuh dalam jangka masa yang singkat dari tarikh perasmiannya, tidak mustahil bangunan-bangunan lain yang telah dibina dalam tahun yang sama juga akan menghadapi nasib yang sama. Kita sekadar beringat sebelum kena. Siasatan yang terperinci mesti dibuat segera untuk mengetahui puncanya. Dan juga binaan-binaan lain yang sewaktu dengannya juga perlu diperiksa bagi memastikan tahap keselamatannya terjamin. Sebagai rakyat, semestinya kita sangat mengharapkan sesuatu yang baik dilaksanakan oleh kerajaan, bukannya sekadar gah pada ucapan tetapi lemah dari sudut pelaksanaan. Semoga peristiwa hitam ini tidak akan berulang pada masa akan datang. Nauzubillah.