Saturday, May 16, 2009

"Selamat Hari Guru" buat guru-guruku

Kejayaanku hari ini tidak akan dicapai tanpa tunjuk ajar dan ilmu yang dicurahkan oleh guru-guru yang mendidikku sejak kecil. Sempena hari guru yang disambut hari ini, inginku ucapkan "Selamat Hari Guru" kepada mereka semua yang pernah mengajarku di ;
1) Taski Petaling, Kuala Terengganu(1987) (Sekarang Pasti Hadhanah Petaling)
2) Sekolah Kebangsaan Bukit Guntong, Kuala Terengganu (1988-1993)
3) Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin, Ladang, Kuala Terengganu (1994-1996)
4) Maahad Tahfiz Al-Quran Negeri Terengganu, Padang Midin, Kuala Terengganu (1997-2000) (Sekarang Institut Quran Terengganu )
5) Maahad Qiraat Al-Azhar, Shoubro, Mesir (2001-2004)
6)Maahad Ta'lim Lughah, Universti Umm Al-Qura, Makkah AlMukarramah (2005-2006)
7) Institut Perguruan Kuala Terengganu, Batu Rakit (2007-2008) (Sekarang Institut Pendidikan Guru Kampus Dato' Razali Ismail)
Segala jasa dan ilmu yang dicurahkan tak dapatku balas. Hanya doa yang ku utuskan buat kalian agar hidup sentiasa dirahmati Allah, di akhirat nanti beroleh kebahagian.
Juga "Selamat Hari Guru" buat rakan guru yang pernah bersama di :
1) Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Berang ( April 2006 )
2) Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin (SMAAZA), Kuala Terengganu (Mei 2006 - Disember 2006)
3) Sekolah Kebangsaan Bukit Nanas, Kuala Terengganu (2007 - sekarang)
Semoga berbahagia sebagai pendidik, mencurah ilmu tanpa jemu, ikhlas dalam apa jua keadaan dan InsyaAllah beroleh kebahagiaan di negeri abadi. Itulah yang kita harapkan.
"GURU PEMBINA NEGARA BANGSA"

Saturday, May 9, 2009

Kenapa tidak "Hari Ibu Bapa" ?

Setiap tahun masyarakat kita menyambut Hari Ibu pada hari Ahad minggu kedua bulan Mei. Hari Bapa pula pada hari Ahad ketiga bulan Jun. Kenapa mesti hari Ahad? Dari mana pengaruh ini? Mengapa diasingkan sambutan hari ibu dan hari bapa? Pada sambutan hari ibu, di mana bapa? Pada sambutan hari bapa pula, di mana ibu?
Menurut Wikipedia,ensiklopedia bebas, Hari Ibu disambut pada hari berbeza antara negara kerana berbagai-bagai asal-usulnya. Satu aliran pemikiran mengakui bahawa perayaan ini lahir dari satu adat pemujaan ibu di
Yunani Purba, yang menyambut satu perayaan untuk Cybele, ibu dewa-dewi Yunani yang agung. Perayaan ini diadakan sekitar equinoks musim bunga di Asia Kecil dan tidak lama kemudian di Rom dari 15 hingga 18 Mac. Orang Rom Purba juga menyambut sebuah perayaan bernama Matronalia yang memperingati dewi Juno, dan ibu lazimnya diberi hadiah pada hari ini.
Antara Negara yang menyambut Hari Ibu pada Ahad kedua Mei ialah
Afrika Selatan, Amerika Syarikat, , India, Itali, Jamaica, Jepun, Jerman, Kanada, Latvia, Malta, Myanmar, New Zealand, Pakistan, Peru, Switzerland, Turki, Ukraine, Uruguay, Venezuela, Zimbabwe, dan tanahairku Malaysia.
Kalau mengikut sejarah ini, sudah tentu hari ibu ciptaan mereka ini tidak wajar disambut. Saya cuma ingin menyatakan pendapat bahawa sewajarnya jika ingin diadakan sambutan, kedua-dua orang tua kita perlu diraikan bersama. Ketaatan kita kepada kedua ibubapa adalah kehendak Allah melalui Firmannya :

وقضى ربك ألا تعبدوا الا اياه وبالولدين احسانا
( 23 سورة الاسراء )
Yang bermaksud : “ Dan beribadatlah kepada Allah dan janganlah kamu mempersekutukannya dengan sesuatupun, dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa…”

واعبدوا الله ولا تشركوا به شيئا وبالولدين احسنا
( 36 سورة النساء )
Yang bermaksud : “ Tuhanmu telah memerintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hemdaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa”.

وَوَصَّيْنَا الإِْنْسَانَ بِوَالِِدَيْهِ إِحْسَانًا
( 14 سورة لقمان )
Yang bermaksud : “ Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya..”
Allah SWT menggunakan perkataan “الولدين" yang bermaksud kedua ibubapa. Ini bermakna kepada kedua ibu bapa perlu kita berbuat baik dan tidak ada perbezaan untuk kita lebihkan ketaatan kita kepada mereka berdua.
Didalam doa harian kepada ibubapa juga kita nyatakan :

رب اغفرلي ولوالدي وارحمهما كما ربياني صغيرا
Bermaksud : Tuhanku, ampunilah dosaku dan dosa kedua ibu bapaku serta rahmatilah (peliharalah ) keduanya sepertimana mereka memeliharaku sewaktu kecilku.
Sebagai anak yang soleh, sudah tentu doa ini kita amalkan setiap kali selepas solat, kita doakan untuk diampunkan dosa kedua ibubapa kita. Inilah yang diajar oleh Rasulullah SAW. Kita tidak pernah pisahkan kasih sayang mereka berdua dan sentiasa mengingati mereka .
Ini bukan bererti kita tidak berpegang dengan hadis :

"اَلْجَنَّةُ تَحْتَ أَقْدَامِ اْلأُمَّهَاتِ."

Yang bermaksud : “Syuga itu di bawah tapak kaki ibu” .

عَنْ مُعَاوِيَةَ بْنِ حَيْدَةَ الْقُشَيْرِىِّ قَالَ : قُلْتُ يَا رَسُوْلَ اللهِ، مَنْ أَبَرَّ؟ قَالَ : أُمُّكَ. قَالَ قُلْتُ : ثُمَّ مَنْ؟ قَالَ : أُمُّكَ. قَالَ قُلْتُ: ثُمَّ مَنْ؟ قَالَ : أُمُّكَ. قَالَ قُلْتُ: ثُمَّ مَنْ؟ قَالَ : أَبَاكَ؟ ثُمَّ الأَقْرَبَ فَالأَقْرَبَ.
(رواه الترميزي)

Yang bermaksud : Daripada Muawiyah katanya aku bertanya Rasulullah SAW, siapakah yang patut aku berbuat baik ? Rasulullah menjawab : Ibumu,kemudian aku bertanya lagi siapa? Rasulullah menjawab : Ibumu, kemudian aku bertanya lagi siapa? Rasulullah menjawab : Ibumu, kemudia aku bertanya lagi siapa? Rasulullah menjawab : Bapamu, kemudian orang yang paling hampir denganmu dan seterusnya”.
Memang benar pengorbanan ibu lebih besar dan dari sudut mendahulukan ibu daripada bapa amatlah wajar sekali kerana pengorbanannya ketika melahirkan kita. Tetapi apakah wajar kita pada hari ini menunggu tempoh sebulan untuk memberi sesuatu kepada bapa setelah kita berikan dahulu kepada ibu?
Pepatah Melayu ada menyatakan “ Ditelan mati ibu diluah mati bapa ” menunjukkan bahawa kasih sayang anak kepada mereka berdua tidak dapat dipisahkan, bahkan kita perlu mununjukkan kasih sayang yang sama rata kepada mereka selagi kedua-duanya masih hidup.
Dalam banyak negara di dunia hari ini, rupanya ada negara yang menyambut “Hari Ibu Bapa” iaitu Korea Selatan dan Albania . Mengapa bukan Negara Islam? Sepatutnya Negara Islam yang menjadi petunjuk bukan pengikut. Atau perkara ini mungkin hanya soal yang remeh-temeh? Sekadar persoalan…Setiap hari adalah hari ibu bapa.

Friday, May 8, 2009

ILMAM Terengganu


Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir (ILMAM).

Saya ingin mengajak sahabat-sahabat yang baru pulang atau yang telah lama pulang dari menuntut ilmu di bumi Mesir dalam apa jua bidang untuk menyertai ILMAM. ILMAM adalah sebuah NGO yang ditubuhkan bagi mengumpul kesemua mahasiswa yang pernah belajar di Mesir dan bergerak atas landasan ilmu pengetahuan dan kebajikan kepada ahli-ahlinya. Semoga dengan adanya platform ini dapat menyatukan seberapa ramai ahli yang berada di bumi Malaysia untuk menyumbang bakti untuk kebaikan masyarakat amnya.
Penyertaan saudara-saudari sangat dialu-alukan. Untuk menyertainya, saudara-saudari boleh menghubungi Setiausaha ILMAM Terengganu :
Ustaz Faisal Mizan bin Ambak
Telefon : 019 9085023
Atau boleh juga melalui blog ini...
Semoga penyertaan saudara-saudari akan memantapkan lagi perjalanan ILMAM dan menambah saham kebaikan untuk perjuangan Islam.

Friday, May 1, 2009

Empat Pertanyaan Yang Mesti Dijawab

Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud :

Daripada Abu Barzah Nadhlah Bin 'Ubais al-Aslami r.a berkata : Bersabda Rasulullah S.A.W : "Belum berganjak lagi kedua kaki seseorang hamba ( di hadapan Allah pada hari kiamat ) sehingga terlebih dahulu ia akan ditanya tentang umurnya, untuk apa dihabiskannya dan akan ditanya tentang ilmunya, untuk apa ia melakukannya dan akan ditanya tentang hartanya, daripada mana ia memperolehinya dan untuk apa dibelanjakannya dan akan ditanya tentang tubuh badannya, untuk apa digunakannya."
( Hadis Riwayat Tirmizi )