Tuesday, April 28, 2009

Hanya 15% Sijil Halal JAKIM Untuk Bumiputra

Hari ini Allah menguji kesabaran saya untuk ke sekolah. Ditakdirkan tayar belakang motosikal saya tidak berangin. Baru semalam tiub tayar itu diganti baru kerana pancit ketika pulang dari sekolah. Hari ini perkara sama berulang. Saya membawa ke sebuah stesen minyak berdekatan untuk mengisi angin, tetapi tidak berjaya. Bocor yang serius. Saya pulang semula ke rumah dalam keadaan tayarnya begitu. Mana ada bengkel motor buka pagi-pagi begini.
Kereta saya hanya sebuah,biasanya dibawa oleh isteri ke pejabat. Sebelum ke pejabat dia akan menghantar anak ke Taska Hadhari terlebih dahulu. Tidak menjadi masalah bagi saya menunggang motosikal ke sekolah walaupun hari hujan. Saya pun menelefon isteri, meminta supaya pulang semula ke rumah untuk saya gunakan kereta itu ke sekolah setelah menghantarnya terlebih dahulu ke pejabat. Masa pun agak sudah lewat dari kebiasaan.
Dalam perjalanan ke sekolah, saya sempat mendegar radio IKIM.FM bagi menghilangkan kesunyian di dalam kereta. Topik yang diperbincangkan pagi tadi sangat menarik bagi saya. Topiknya "Hanya 15% Sijil Halal yang dikeluarkan oleh JAKIM kepada pengusaha-pengusaha makanan adalah bumiputra". Ini bermakna selebihnya adalah bukan bumiputra yang sudah tentu kebanyakan mereka adalah bukan Islam.
Ramai juga yang menelefon untuk memberi pandangan dan pendapat. Ada yang mengatakan bahawa kita bagaikan dagang di negara sendiri. Setiap makanan yang kita ingin beli, belum pasti halal kerana mungkin tiada tanda halal. Sekiranya ada, mungkin telah luput sijil halalnya. Andainya belum luput, mungkin bukan Islam yang mengeluarkannya yang belum tentu terjamin kebersihan dan kesuciannya. Kalaulah dijaga, mungkin hanya ketika pemantauan JAKIM, tetapi berapa kali sahajakah JAKIM membuat pemantauan?Pendek kata kita yang perlu teliti semua sekali. Keluhan seorang pemanggil.
Ada juga yang memberi maklumat produk bukan Islam seperti bihun dan laksa segera. Menurut pemanggil tersebut, setakat ini tidak ada lagi bihun dan laksa yang dikeluarkan oleh orang Islam, yang ada hanya dibungkus oleh orang Islam. Inilah realiti hidup kita dibumi bertuah Malaysia "Negara Islam".
Fakta ini baru sahaja saya perolehi, saya belum tahu tentang peratus yang begitu sedikit bagi orang Islam yang menghasilkan produk makanan. Saya cuba untuk mencari maklumat tambahan bagi mengukuhkan fakta ini tetapi kelapangan masa yang ada pada hari ini sangat terhad. Sepintas lalu saya membelek Utusan Melayu dan Berita Harian yang tersedia di atas meja di ruang bilik guru, tidak saya jumpa. Sebelah petang Selasa biasanya aktiviti Kokurikulum di sekolah, tidak adil bagi saya sebagai guru pembimbing tidak hadir.
InsyaAllah saya akan cuba mengukuhkan fakta ini dari sumber yang sahih.
Mencari yang halal, fardu bagi setiap mukmin.

Saturday, April 25, 2009

Tazkirah

Mati hati itu adalah kerana tiga perkara iaitu;

  • Hubbul dunia (kasihkan dunia)
  • Lalai daripada zikirullah (mengingati Allah)
  • Membanyakkan makan dan menjatuhkan anggota badan kepada maksiat kepada Allah.

Hidup hati itu kerana tiga perkara iaitu;

  • Zuhud dengan dunia
  • Zikrullah
  • Bergaul atau berkawan dengan aulia Allah.

Tuesday, April 21, 2009

Ubat gigi anda mengandungi DCP?


Kebanyakan ubat gigi di pasaran hari ini mengandungi Dicalcium Phosphate yang mungkin daripada binatang yang tidak halal. Ingat, halal bukan pada tanda halal sahaja. Antara altenatif yang boleh dikongsi ialah :

Ubat Gigi Herba HPA dengan khasiat daun mambu dan bunga cengkih. Antara kelebihan :
1. Diiktiraf HALAL oleh JAKIM
2. Diperbuat daripada sumber semulajadi iaitu daun mambu dan bunga cengkih
3. Tidak mengandungi gelatin dan serbuk tulang (Dicalcium Phosphate)
4. Tidak mengandungi florida yang merbahaya kepada usus
5. Mampu menyelesaikan hampir semua masalah gigi dan gusi
Dengan mengamalkan ubat gigi herba HPA, nafas akan menjadi segar, gusi sihat, kuman serta kaviti di dalam mulut dapat dibasmi serta menjadikan gigi kuat dan bersinar.
Khasiat Daun Mambu.
Herba yang berasal dari India dan Myanmar ini terkenal sebagai antiseptik atau antibakteria bagi mencegah masalah gusi dan gigi berlubang.
Khasiat Bunga Cengkih.
Herba yang berfungsi untuk menguatkan gigi dan seterusnya mencegah kerosakan gigi serta menyegar dan mengharumkan nafas.
Komposisi (200 gram per tiub) :
1. Azadirachta indica 2. Eugenia caryphyllata

Saturday, April 18, 2009

Halal Haram: Adakah kita sensitif mengenainya?


Pernahkah anda membaca buku Halal Haram yang diterbitkan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang ( CAP )? Bukan tujuan saya untuk mempromosikan buku tersebut tetapi bagi saya pendedahan yang dibuat oleh CAP sangat penting untuk kita kaji dan renung sejauh mana makanan yang kita makan hari ini menepati kehendak "HALAL" yang digariskan syariat. Adakah sesuatu barang yang mempunyai logo halal JAKIM, kita terus mengatakan ianya halal? Adakah begitu pendirian kita? Berapa banyak produk yang menggunakan tanda halal JAKIM tetapi sebenarnya tidak mendapat kebenaran JAKIM. Kadang-kadang makanan yang haram bagi umat Islam pun diletak tanda halal.

Sebagai contoh pada 14 Februari 2005 seorang lelaki beragama Islam nyaris termakan daging babi yang dibungkus bersama daging ayam dalam sebuah beg plastik yang berlogo halal JAKIM. Syarikat berkenaan memanggang daging babi dan daging ayam dalam tempat memanggang yang sama. Sejak tahun 1994 lagi CAP telah membuat kajian pada minuman Coca-cola dan mendapati ianya mengandungi alkohol.

Banyak lagi sebenarnya yang didedahkan dalam buku ini. Bukan sahaja makanan tetapi juga barangan lain seperti beg tangan, kosmetik, minyak wangi dan sebagainya.


  • wei, lemak babi didapati dalam susu rumusan bayi

  • plasma darah dalam makanan

  • MSG- serbuk perisa yang meragukan

  • rambut manusia dalam makanan

  • alkohol dalam makanan

  • geletin yang meragukan dilabel halal

  • kosmetik daripada kulit banduan China yang ditembak

  • tulang binatang dalam pinggan mangkuk

  • berus dari bulu babi

  • Ayam KFC - disiat kulit hidup-hidup, paruhnya dicabut, kepala dipulas, air tembakau dititik ke dalam mulut dan mata; tapi"sedap hingga menjilat jari"

Inilah antara isu yang diutarakan dalam buku ini dan diterangkan secara jelas ciri-ciri makanan yang tidak halal ini. Sebagai umat Islam, perkara ini sangat sensitif bagi kita, kesedaran seluruh umat Islam sangat perlu bagi memastikan makanan yang menjadi darah daging kita benar-benar halal. Perintah Allah swt yang bermaksud : " Wahai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi..."( Surah Al-Baqarah, ayat 168) Persoalannya sejauh manakah kita sensitif tentang perkara ini dan bagaimana kita mengelakkan diri kita daripada memakan atau menggunakan benda-benda ini?

Friday, April 10, 2009

Perpisahan, jasa dan kenangan.



Semalam baru sahaja diraikan guru-guru SKBN yang baru bertukar ke sekolah lain. Majlis yang berlangsung di Hotel Sumai, sebuah hotel baru yang berhampiran Primula Park Royal itu dihadiri ketiga-tiga orang guru yang berkenaan.
1) Puan Nor Zaitulakma binti Mad Yunus (Kak Ma) bertukar ke SK Bukit Tunggal.
2) Puan Khadijah binti Abdul Rahman (Kak Jah) bertukar ke SK Bukit Wan.
3) Puan Asmalaini binti Asli (Kak Asma) bertukar ke SK Gong Badak.
Majlis dimulakan dengan doa makan dan jamuan. Selepas jamuan barulah diadakan majlis ucapan dan penyampaian cenderahati.
Saya seperti biasa tugasan rasmi mengacarakan majlis, menjemput seorang demi seorang guru yang bertukar ini menyampaikan amanat terakhir. Ucapan mereka juga sama seperti orang yang akan berjauhan, saling memohon maaf, halal menghalal dan memohon agar hubungan baik antara guru-guru terus terbina utuh. Ada yang gembira dan ada yang sedih dengan perpisahan itu sehingga tidak dapat mengeluarkan kata-kata seketika. Mungkin kerana kenangan dan hubungan yang terlalu akrab sekian lama terbina dan kini tidak lagi bersama. Sepuluh tahun bersama berganding bahu memikul tanggungjawab mendidik anak-anak yang dahagakan ilmu, sudah tentu ada peristiwa manis dan pahit yang dikecapi bersama. Tidak hairanlah jika perpisahan ini dilinangi air mata.
Saya sendiri yang mula bertugas di sekolah ini bermula 2007 juga menyimpan kenangan bersama mereka. Tahun lepas, kumpulan SKBN muncul johan dalam pertandingan "Kalam Jamaie" antara sekolah-sekolah yang mengikuti program j-QAF, peringkat Kuala Terengganu Utara. Dengan itu, sekolah ini berjaya mewakili Kuala Terengganu Utara ke peringkat negeri yang diadakan di Dungun. Kejayaan ini sebenarnya adalah hasil bantuan yang bukan sedikit daripada Kak Ma selaku guru Bahasa Inggeris yang berpengalaman. Anaknya Wani juga salah seorang ahli kumpulan tersebut. Saya hanya sekadar menulis skrip dan 'tolong tengok' apa yang patut.
Kak Asma pula adalah mentor saya dalam PBSM. Saya diberi amanah menjadi antara guru penasihat PBSM dan Kak Asma adalah pengerusinya. Tetapi setelah Kak Asma bertukar, saya pula terpaksa memikul tanggungjawab tersebut. Agak sukar bagi saya melaksanakannya kerana kurang pengalaman dalam bidang ini. Walaubagaimanapun, tugas dan amanah ini akan tetap dilaksanakan.
Seorang lagi Kak Jah yang berasal dari Johor, hingga sekarang masih mengekalkan identiti Johornya. Saya sempat mengajar dua orang anaknya Hanafi dan Husna. Hanafi ketika tahun satu dan dua,2007 dan 2008 kemudian bertukar ke SK Maras, manakala Husna baru memasuki tahun satu pada tahun ini, sekarang telah bertukar mengikut ibunya. Kak Jah sangat peramah dan lemah lembut, mudah untuk mendapat pandangan dan nasihat.
Begitulah lumrah alam, pertemuan dan perpisahan sering terjadi. Perpisahan tetap akan berlaku dan akan terus berlaku. Yang tinggal hanyalah kenangan manis dan pahit ketika bersama yang sentiasa diingat, juga jasa yang ditinggalkan akan menjadi sebutan. Moga perpisahan ini tidak menjadi penyebab putusnya pertalian sesama insan, bahkan lebih utuh dan terus disambung berpanjangan.

Saturday, April 4, 2009

Kita juga bakal ke sana...

Baru sebentar tadi saya menerima sms dari seorang rakan di Dungun "Askum. Al Fatihah buat sahabat kita Ahmad Zuhaili bin Mohamad Safie yang kembali Rahmatullah jam 12 tengahhari tadi-accident di Paka". Innalillahiwainna ilaihi roojiuun. Semoga rohnya ditempatkan dikalangan orang-orang yang soleh.
Walaupun saya hanya mengenali arwah secara jauh kerana berlainan unit dan saya tidak tinggal di asrama (kami belajar di tempat yang sama dan kursus yang sama) ketika mengambil KPLI di IPKT, tetapi bila mendengar seorang sahabat meninggal dunia, alangkah terkejutnya saya. Rakan yang umur sebaya dengan saya telah pergi buat selama-lamanya menemui Yang Maha Pencipta.
Ajal maut datang dengan tiba-tiba tanpa mengira siapa kita dan berapa umur kita. Tanpa mengira banyak manakah bekalan amal yang kita telah ada untuk ke sana dan tanpa memohon permit terlebih dahulu dari kita. Kita yang perlu sentiasa lebih bersedia, tapi bersediakah kita ke sana?
Akhir tahun lepas, seorang rakan saya juga telah kembali ke Rahmatullah kerana paru-paru dijangkiti kuman, umurnya lebih muda dari saya. Tanpa di duga dalam keadaan dilihat masih lagi sihat, walaupun doktor telah menyatakan ada sedikit jangkitan kuman pada paru-parunya, beliau pergi jua bila sampai masanya. Beliau meninggalkan seorang isteri dan dua orang anak.
Begitulah hidup ini, tiada yang kekal. Semuanya bakal menemui ajal, cuma menunggu giliran untuk ke sana. Yang pastinya ajal itu makin hampir kerana umur kita semakin bertambah. Bersedialah kita ke sana!!!
Semoga Allah merahmati sahabat-sahabatku yang telah menemuiNya. Dan kita yang bakal ke sana mencari bekalan terbaik sebagai benteng dari azabNya. Semoga Allah mengampuni semua dosa-dosa kita. Amiiin..

Friday, April 3, 2009

Perdana Menteri keenam


Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak secara rasmi dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia keenam pada pukul 10.12 pagi tadi menggantikan Dato' Seri Abdullah Ahmad badawi yang melepaskan jawatan selepas lebih 5 tahun mentadbir negara. Bekas Perdana Menteri dan isteri kini bergelar Tun. Ingatlah, Nabi s.a.w menyebut di dalam hadis sohih Al-Bukhari dan Muslim :
كلكم راع وكلكم مسئول عن رعيته
Bermaksud :"Setiap kamu adalah penjaga (pemimpin) dan bertanggungjawab ke atas apa yang dijaganya.."